Berpeluang menghadiri Bengkel Penghayatan Komsas peringkat negeri pada bulan lepas memberikan banyak ilmu kepada saya, terutama dalam hal kaedah dan teknik pengajaran komsas. Komsas merupakan komponen penting dalam mata pelajaran bahasa Malaysia.


Bengkel tersebut yang dikelolakan oleh jurulatih berpengalaman (guru) berdasarkan bidang ilmu yang mereka sampaikan. Pada saya objektif bengkel untuk menyalurkan kaedah dan teknik pengajaran kepada guru tercapai. Sesi bengkel pun menarik walaupun sesetengah guru yang datang berharap akan memperoleh penjelasan berkaitan teks baru komsas yang akan digunakan oleh pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 4 pada tahun 2010.


Sepanjang bengkel tersebut, saya tertarik dengan penggunaan bahasa dalam kalangan jurulatih dan peserta yang semuanya mengajar sama ada sastera atau bahasa Malaysia di sekolah masing-masing. Sukar untuk mendengar bahasa Malaysia digunakan dengan sebaiknya. Penggunaan dialek dan bahasa rojak begitu ketara. Mungkin kerana mahu santai atau sengaja tidak mahu berbahasa sebaiknya. Dalam kalangan peserta ada yang menggunakan bahasa baku dengan baik dan mendapat pujian daripada jurulatih, namun jurulatih sendiri masih terikat dengan kepekatan dialeknya. Antara yang saya catatkan:


i. Dalam beg ni ada segala mak neka
ii. Tak dan nak make up
iii. Kita konar sikit no
iv. Dia bangkit, dia celapak pi
v. Belum makan slow, lepas makan pun slow juga
vi. Semua dah warming up

Memang sukar untuk cuba berbahasa dengan sebaiknya, namun sebagai guru yang mengajar bahasa ibunda keutamaan untuk menggunakan bahasa baku wajarlah dijadikan kebiasaan. Kita haruslah cuba untuk berbahasa dengan sebaiknya.