Guru Wajib Baca 7 Buku Setahun

Sumber gambar: UNIKA PTS

Membaca catatan “Kontraktor Buku Gembira dengan Langkah KPM Mewajibkan Guru-guru Membaca 7 Buku Setahun” dalam blog UNIKA PTS merupakan khabar gembira bagi saya. Hal ini kerana saya sememangnya kurang berminat untuk menghadiri Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang diadakan atas sebab-sebab tertentu. Bagi saya membaca merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan dan tahun ini saya sudah menyemat azam untuk membeli sekurang-kurangnya 2 buah buku sebulan. Tentunya juga membaca paling kurang 2 buah buku sebulan!

Khabar ini sebenarnya sudah diumumkan oleh pentadbiran sekolah saya pada penghujung tahun lepas. Program ini bertujuan untuk menggantikan program LDP yang wajib diikuti oleh guru-guru sekurang-kurangnya 7 hari dalam setahun. Namun hingga kini tidak ada kepastian berkaitan program tersebut.

Saya mengakui, bukanlah mudah untuk membudayakan membaca sebagai amalan walau untuk mengisi beberapa minit masa terluang. Menggalakkan guru membaca sekurang-kurangnya 7 buah buku setahun merupakan satu langkah yang baik. Namun untuk menetapkan 7 buah buku yang perlu dibaca bukanlah suatu langkah yang baik.

Guru sewajarnya diberi pilihan untuk membaca buku pilihan masing-masing. Hal ini demikian kerana salah satu faktor minat membaca adalah bergantung kepada minat individu terhadap genre yang diminati. Menetapkan 7 bahan bacaan tertentu tentulah mengekang minat sesetengah guru. Secara tidak langsung akan melunturkan minat membaca seperti yang diharapkan.

Malahan KPM sendiri boleh melaksanakan kempen yang berlebih berkesan sejajar dengan program wajib membaca 7 buah buku setahun dengan melancarkan kempen membaca secara besar-besaran di sekolah-sekolah KPM. Idea BACA@LRT merupakan satu idea yang boleh dimurnikan oleh KPM. Secara tidak langsung bukan guru sahaja yang dibudayakan dengan amalan membaca, malahan pelajar juga turut menerima kesan positifnya.

February 3rd, 2010 by