Diftong dan Vokal Berganding

Diftong dan Vokal Berganding

Diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata akibat perubahan kedudukan lidah. Takrif ini diberikan oleh Kamus Linguistik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Contoh yang diberikan ialah [ai] dalam pandai dan [au] dalam pulau.

Profesor Nor Hashimah Jalaludin dalam bukunya Asas Fonetik (DBP, 1998: 41) pula menulis, “Bunyi diftong melibatkan dua rentetan vokal yang hadir serentak. Bunyi diftong terhasil apabila bunyi vokal yang hadir selepas bunyi vokal yang satu lagi menggeluncur ke arah vokal yang mula-mula hadir tanpa menunjukkan sebarang puncak kelantangan. Ketiadaan puncak kelantangan semasa penghasilan bunyi diftong menjadikan bunyi tersebut sebagai satu suku kata sahaja.”

Dalam bidang fonetik, unit bunyi bahasa diistilahkan sebagai fon. Fon yang dapat membezakan makna pula dinamakan fonem. Bunyi [au] dalam perkataan pulau ialah satu fon, sekali gus satu fonem. Bunyi ini ditulis dengan menggunakan dwilambang. Tegasnya, diftong bukan dua vokal/bunyi yang sempurna tetapi gabungan/geluncuran bunyi yang tersendiri.

Satu vokal melambangkan satu bunyi dan membentuk satu suku kata. Satu vokal sahaja dapat berdiri sebagai satu suku kata. Contohnya, dalam perkataan ubi, u ialah satu vokal sekali gus satu suku kata. Ada juga vokal dapat berdiri sebagai suku kata sekali gus satu perkataan seperti “o” dalam kopi “o” yang bermaksud tanpa susu.

Suku kata terbanyak dalam bahasa Melayu ialah gabungan vokal dengan konsonan. Sebagai contoh, perkataan amyu dan pin ialah perkataan satu suku kata. Suku kata itu ditandai oleh adanya satu vokal. Perkataanubi pula mempunyai dua suku kata, iaitu u dan bi. Perkataan cencarumempunyai tiga suku kata, iaitu cen, ca dan ru. Perkataan rasional pula mempunyai empat suku kata, iaitu ra, si, o dan nal. Nyatalah bahawa dalam bahasa Melayu tanpa vokal, tidak wujud suku kata.

Kita boleh memisahkan suku kata dengan menggunakan tanda tambah. Perkataan bayu dalam transkripsi fonetik ialah [ba+yu], dalam transkripsi fonemik ialah /ba+yu/ dan sebagai perkataan biasa ba+yu. Sebagai perkataan biasa, tanda sempang juga boleh digunakan untuk memisahkan susunan kata seperti ba-yu, cen-ca-ru dan ra-si-o-nal.Buku Daftar Kata Bahasa Melayu-Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua(DKBM) (DBP, 2008) menggunakan tanda titik untuk memisahkan suku kata seperti dalam perkataan [pa.sang]. Buku itu menggunakan tanda kurung siku [ ] sebagai tanda transkripsi fonemik.

Dalam analisis ejaan oleh DBP, vokal dan diftong digantikan dengan huruf V. Konsonan pula digantikan dengan huruf K. Analisis dengan lambang V dan K dinamakan analisis struktur suku kata. Struktur suku kata perkataan ba-yu ialah KV+KV, struktur suku kata perkataan cen-ca-ru ialah KVK+KV+KV dan struktur suku kata perkataan ra-si-o-nal ialah KV+KV+V+KVK. Susunan V, KV dan KVK termasuk dalam 11 pola suku kata yang tercatat dalam Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu yang termuat dalam DKBM (2008: 7).

Dengan berdasarkan analisis DBP, struktur suku kata perkataan pisauialah KV+KV. Diftong au ialah satu bunyi dan dilambangkan dengan satu V dalam pola suku kata KV. Struktur suku kata sau bukan *KVV. Hal ini mustahil kerana satu suku kata hanya ada satu V.

Di halaman 58 buku Panduan Menulis dan Mengeja Jawi (DBP, 1999), Hamdan Abdul Rahman menggunakan D untuk diftong. Apabila kita menggunakan D, struktur perkataan pisau ialah KV+KD. Suku kata sauialah KD. Analisis ini tepat kerana dalam suku kata ini hanya ada satu diftong. Silaplah sekiranya kita katakan pola suku kata sau ialah *KDD. Dalam bahasa Melayu tiada pola suku kata KVV atau KDD. Sekali lagi, dalam bahasa Melayu hanya ada satu V atau D dalam satu suku kata.

Marilah kita lihat perkataan daun. Pemisahan suku kata ini ialah da+un. Struktur suku katanya ialah KV+VK. Huruf vokal a berada dalam suku kata pertama (praakhir). Huruf vokal u berada dalam suku kata kedua (akhir). Kedudukan vokal dalam perkataan ini sama dengan dalam perkataan paustaunpais dan kais. Huruf au dan ai dalam perkataan-perkataan ini bukan diftong. Demikian juga halnya vokal io dalam perkataan rasional (KV+KV+V+KVK), ia dalam diam (KV+VK) dan uadalam tuam (KV+VK), ialah dua vokal yang berada bersebelahan atau bergandingan. Gandingan io, ia dan ua dalam perkataan-perkataan ini bukan diftong.

Seterusnya, kita analisis perkataan mulai. Pemecahan suku kata perkataan ini ialah mu+la+i dan berstruktur KV+KV+V. Mula ialah kata dasar dan i ialah imbuhan akhiran. Sebutan yang betul bagi perkataan ini seperti yang tercatat dalam DKBM (halaman 1157) ialah [mu.la.i]. Demikianlah juga halnya dengan perkataan lain seperti sertairasai danwarnai. Tegasnya, ai dalam perkataan-perkataan ini bukan diftong. Walau bagaimanapun, bagi perkataan tertentu seperti gulai, ada dua cara pemecahan suku kata, iaitu gu-lai (KV+KD) dan gu-la-i (KV+KV+V).

Istilah diftong sudah mantap. Dalam buku Pelita Bahasa Melayu Penggal I (DBP, 1958), sejak tahun 1940-an Za‘ba menggunakan istilahbunyi berkait rapat untuk diftong dan bunyi berkait renggang untuk dua vokal yang berganding dalam satu perkataan seperti dalam perkataankaillaut dan duit. Kini, rujukan terbaik ialah Kamus Linguistik. Sayangnya tiada istilah bagi perkara ini dalam kamus itu.

Bagi bunyi berkait renggang yang dikatakan oleh Za‘ba, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) DBP menggunakan istilah vokal berganding. Banyak soal jawab tentang perkara ini di PRPM. Ada jawapan tidak tepat atau silap. Terdapat tiga jawapan yang tepat. Jawapan terbaik ialah “Vokal berganding berbeza daripada diftong yang dilafazkan sebagai satu bunyi. Perkataan yang dieja dengan vokal berganding ialah kuihbuihair dan laut.” Jawapan ini diberikan pada 28 Disember 2010.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) juga menggunakan istilah vokal berganding. Pakar ejaan Rumi bahasa Melayu, Ismail Dahaman dalam bukunya Ejaan Rumi Sepanjang Zaman (DBP, 2007) pula menggunakan istilah vokal rangkap, rangkap vokal, urutan vokal dan gugus vokal. Oleh sebab penggunaan istilah vokal rangkap lebih banyak dalam buku itu, maka kita menganggap istilah vokal rangkap menjadi keutamaan beliau.

Penjelasan ini diharap dapat membantu bakal guru dan guru, khususnya mereka yang mengendalikan rancangan celik huruf, dalam pelaksanaan tugas masing-masing. Penggunaan istilah diftong yang sudah mantap dan istilah vokal berganding yang sedang menuju kemantapan wajarlah diteruskan.

No Comments Yet

Leave a Reply