Petang tadi, saya bersama-sama isteri dan anak berkunjung ke sebuah kompleks membeli-belah. Kami terus ke kedai jam dan melihat-lihat pelbagai jenis jam tangan sebelum membelinya.
Tiba saya ditegur oleh seseorang yang tidak saya kenali (setelah puas mengamatinya…mungkin rakan lama yang sudah lama tidak ketemu-juga bukan).
“Bos, lama tak jumpa,” sapanya dengan suara yang kuat ke arah saya.
“Aaaa…encik apa khabar?” balas saya (Saya memang tidak selesa dengan panggilan ‘Bos’. Baik lagi panggilan perempuan Cina pekerja kedai jam itu memanggil saya dan isteri encik dan puan.)
Saya pasti, lelaki itu tidak saya kenali (Puas saya mengingatkan kawan-kawan yang sudah lama tidak ketemui). Lantas saya bertanya, “Encik, kita pernah berjumpa di mana ya?”.
Malangnya lelaki itu tidak menjawab soalan saya, lantas berlalu dan menyapa kawannya di muka pintu kedai itu.
Kemudiannya datang lagi kepada saya, “Bos, nak beli jam ka?” (Soalan yang tak sepatutnya ditanya-saya memang nak beli jam!).

“Ya, tapi kami mahu melihat-lihat dahulu.” (saya cuba menjaga air muka lelaki itu yang saya rasa sudah sedar yang dia tersalah orang).
“Bos, tak kerja ka hari ini?” Dia bertanya lagi dengan suaranya yang kuat. Saya nampak pekerja kedai pun agak rimas dengan nada suaranya yang kuat itu.
“Kerja, sekarang dah petang, saja keluar jalan-jalan.” (Hakikatnya saya memang cuti, tetapi kerana mahu menjaga air muka lelaki itu saya mengiyakan sahaja)
Akhirnya lelaki itu berlalu pergi begitu sahaja. Riak mukanya menunjukkan yang dia sedar bahawa dia memang tersalah orang…mungkin pelanduk dua serupa.
Malangnya, saya begitu tidak selesa untuk melayannya apabila dia menyapa saya dengan panggilan “Bos”… Alangkah baiknya jika disapa sebagai “Encik” sahaja… Saya orang biasa, bukan siapa-siapa untuk dipanggil “Bos”!.