Kejadian ribut yang melanda bazar ramadhan di Melaka memang tragis . Begitu juga kejadian yang berlaku di Miri, 11 gerai ranap ditimpa pokok besar yang tumbang. Kejadian yang berturut-turut. Segalanya urusan Allah.
Ramadhan bulan berkat. Kehadiran Ramadhan merupakan pintu rezeki bagi kebanyakan orang untuk menambah pendapat melalui aktiviti perniagaan, baik berniaga makanan mahu pun pakaian. Hal sedemikian menyebabkan wujudnya banyak bazar Ramadhan bagi memenuhi keperluan peniaga.
Melihatkan cara pengendalian gerai-gerai bazar Ramadhan sejak kebelakangan ini, saya selalu terbayangkan andai berlaku kejadian yang tidak diingini (kebakaran atau ribut). Keadaan dan struktur gerai yang terdiri daripada khemah pasang siap, tidak menampakkan ciri-ciri keselamatan kepada peniaga dan pengunjung. Semua terdedah kepada bahaya yang tidak diduga. Kejadian ribut yang melanda bazar Ramadhan di Melaka membuktikan bahawa peniaga dan pengunjung terdedah 100% kepada bahaya. Apatah lagi bazar didirikan di kawasan lapang.
Takziah kepada keluarga mangsa. Moga kejadian yang berlaku akan membuka mata pihak berkuasa tempatan terhadap aspek keselamatan melebihi keuntungan yang diharapkan melalui sewa gerai yang dinaikkan saban tahun akibat permintaan yang terlalu tinggi.
—–
Jangan lama-lama apabila berada di bazar Ramadhan. Cepat beli dan cepat balik…Lama-lama nanti pahala puasa juga berkurang 🙂