8 November 2008

Berbuih mulut bercakap tentang bahasa kebangsaan

Tanggungjawab bersama memartabatkan bahasa
Sumber: Surat Pembaca Berita Harian Online (7 November 2008)

PELBAGAI pihak mengambil peranan dan memberi pendapat apabila kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP mahu meletakkan papan tanda bertulisan Cina dan Tamil di kawasan Tapak Warisan Dunia di negeri itu untuk memudahkan pelancong bukan Melayu.

Daripada rakyat bawahan sampailah kepada menteri dan juga orang kuat Dewan Bahasa dan Pustaka, kebanyakannya melahirkan rasa kesal dengan cadangan itu yang dikatakan membelakangkan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi walaupun tujuannya untuk kemudahan orang luar.

Maka, apabila bahasa Melayu tercabar kedudukannya, orang ramai mula menuding jari dan pihak ini yang memandang rendah terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi alat perhubungan antara kaum di negara kita.

Sikap kita sendiri boleh menentukan mengapa bahasa kita dicabar tidak kira sama ada oleh bangsa Melayu sendiri atau bangsa lain. Jika kita tinjau senario bahasa rasmi negara kita dan persepsi masyarakat kita terhadap bahasa sendiri, kita akan dapat membuat pelbagai rumusan mengenainya.

Orang luar memandang bahasa kita sangat rendah darjatnya di negara sendiri walaupun kita mengaku bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Orang kita juga lebih mudah berbahasa asing daripada bahasa sendiri dalam sesetengah urusan sehingga bahasa sendiri pun tunggang langgang dan bahasa asing pun tidak seberapa.

Pemantauan terhadap bahasa tidak berkesan dan dibuat secara bermusim sehingga ia tercemar dengan serius oleh sebab kemasukan istilah asing yang dicampur aduk dengan bahasa kita.

Pertukaran ejaan dan istilah yang kononnya untuk tujuan memantapkan bahasa menyukarkan kita sendiri dalam berurusan. Suatu ketika dulu, kita menggunakan ‘bahasa Malaysia’ sebagai nama satu mata pelajaran di sekolah, kemudian ditukar kepada ‘bahasa Melayu’ dan ‘bahasa Malaysia’.

Kita pernah mencanangkan agar perkataan ‘kemalangan’ merujuk kepada kejadian di jalan raya ditukar kepada ’kecelakaan’ kemudian kita jarang melihat istilah itu digunakan.

Kecelaruan dalam bahasa Melayu mencerminkan tahap bahasa kita tidak diyakini penggunaannya. Maka, wujudlah bahasa rojak dalam percakapan, kesalahan pemilihan istilah dalam pertuturan sehingga menimbulkan polemik.

Oleh itu, di samping peranan yang boleh dimainkan Dewan Bahasa dan Pustaka, semua pihak mesti memartabatkan bahasa Melayu supaya imej dan penggunaannya terpelihara.

Media massa, umpamanya mesti mengukuhkan semula penggunaan bahasa baku supaya identiti kita terserlah. Kawalan penggunaan bahasa dalam media massa mesti disandarkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

kepada pakar bahasa untuk memastikan penggunaan bahasa yang diketengahkan untuk tatapan masyarakat betul atau tidak. Masyarakat pula, walaupun sudah berlaku apa yang dinamakan osmosis budaya, usahlah memandang rendah kepada bahasa rasmi negara kerana Bahasa Itu Jiwa Bangsa.

M JASNI MAJED,
Kapar, Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


5 + = twelve