Penjawat awam dilarang guna modem untuk capaian terus Internet
16/06/2009 6:37pm
(Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR 16 Jun — Penjawat awam dilarang menggunakan kemudahan modem untuk membuat capaian terus ke Internet kerana ia melanggar Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet dan Mel Elektronik di agensi-agensi kerajaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Garis panduan itu yang dikeluarkan pada 2003, adalah sebagai panduan kepada penjawat awam dalam penggunaan Internet, kata Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Aktiviti lain yang melanggar tatacara pengguna Internet di pejabat kerajaan termasuk menyedia, memuat naik, memuat turun dan menyimpan gambar, lagu atau teks yang bercorak penentangan yang boleh membawa keadaan huru-hara dan menakutkan pengguna Internet yang lain, katanya. Penjawat awam juga dilarang menyalahgunakan kemudahan perbincangan awam secara online seperti newsgroup dan bulletin board, menggunakan kemudahan ’chatting’ melalui internet, menggunakan kemudahan Internet untuk tujuan peribadi dan menjalankan aktiviti komersil dan politik.