January 29th, 2015 by bukharishafie

Posted in Uncategorized Tagged with:

May 21st, 2009 by bukharishafie

Profesor Emeritus Abdullah Hassan dalam blog Santun Bahasa menegaskan:

Apabila kita hormat, kita meningkatkan taraf orang yang dilawan bercakap dengan menggunakan bentuk panggilan yang meninggikan tarafnya. Inilah yang dikatakan berbudi bahasa.

Hujung minggu lalu, saya berkunjungan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menziarahi biras saya yang mengalami masalah saraf.

i. Situasi di tempat meletak kenderaan pelawat

Sambil menunggu di dalam kereta, saya sempat memerhatikan gelagat seorang wanita yang agak berumur mendekati pelawat-pelawat yang meletakkan kenderaan. Sambil memegang beberapa naskah surah Yassin dan menggalas beg kecil, dia menghampiri setiap pelawat dan menyapa serta mempelawa pelawat untuk membeli surah Yassin yang dibawanya. Dia sentiasa bermanis muka sambil membantu memberikan isyarat kepada pelawat untuk meletakkan kenderaan di petak yang disediakan.

“Assalamualaikum tuan, mak cik menjual surah Yassin, mahukah tuan membelinya.”

“Assalamualaikum encik, mak cik menjual surah Yassin, mahukah tuan membelinya.”

Demikian antara yang saya dengar kata sapaannya setiap kali mendekati pelawat yang meletakkan kenderaan di situ.

Ada yang dipanggil tuan, ada yang dipanggil encik. Yang saya perasan, panggilan itu berdasarkan penampilan pelawat dan juga pada kenderaan pelawat. Pandai dia menyesuaikan sapaan untuk menarik perhatian orang yang disapanya.

ii. Situasi di dalam wad

Sewaktu sedang menziarahi biras saya, beberapa orang jururawat sibuk menyediakan fail-fail pesakit dan pembantu hospital pula sedang mengedarkan pas untuk menunggu pesakit.

“Mak cik, ini surat kebenaran pelawat. Jika jaga (pengawal keselamatan) masuk nanti (bukan waktu melawat), mak cik tunjuk saja surat ini.”

“Ya, terima kasih.”

“Akak, sudah dapat surat ini ke belum?”
“Belum.”
“Nanti saya sediakan, akak tunggulah sekejap. Surat ni penting.”

iii. Kedua-dua situasi menampakkan sikap profesionalisme dua watak. Kedua-duanya berurusan dengan orang ramai. Bahasa penjual surah Yassin lebih menarik perhatian orang yang didekatinya. Bahasa pembantu hospital pula nampaknya seolah-olah untuk menampakkan layanan mesra terhadap pelanggan, namun tidak kena pada tempatnya. Apatah lagi beliau seorang penjawat awam yang sentiasa berurusan dengan pelanggan. Jadi, panggilannya juga haruslah kena pada tempatnya dan melambangkan profesionalismenya sebagai penjawat awam. Beliau sewajarnya menggunakan sapaan, cik, encik, puan atau tuan.

Sila ke blog Santun Bahasa (Profesor Emeritus Abdullah Hassan) untuk membaca kupasan beliau tentang hal ini.

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , , , ,