March 24th, 2009 by bukharishafie
Benarkah golongan yang terlibat dalam profesion perguruan antara yang berisiko tinggi untuk mengalami tekanan mental? Antara petikan faktor-faktor yang dipaparkan dalam Kosmo berkaitan isu ini ialah bebanan kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan.

Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pula mendapati 70 % daripada 9,000 guru di seluruh negara (mungkin subjek kajian sahaja, bilangan guru adalah lebih ramai lagi) tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.

Itu satu aspek yang berkaitan dengan tugas dan tugas yang di luar bidang tetapi sudah menjadi rutin. Satu aspek lain yang mungkin sengaja diketepikan adalah berkaitan sistem gaji yang masih menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan guru yang menyambung pelajaran seperti kumpulan DG2941, guru-guru yang memiliki sarjana dan phd. Ini juga menjejaskan motivasi diri mereka setelah berusaha meningkatkan profesionalisme.


Saya masih teringat pesan guru saya sewaktu di SM Jitra (sekarang SMK Jitra), cikgu Mashitah, katanya:

kalau nak seronok dengan kerjaya kita, jangan fikir soal berapa yang kita akan dapat (gaji), tetapi fikirlah sejauh mana kerja kita menjadi satu ibadat untuk diri dan orang lain…”

Ada juga yang menggambarkan guru adalah segalanya di sekolah…

dialah cikgu, kerani, bank, polis, trafik, bomba, juruteknik, jurulektrik, tukang paip, peguam, hakim, doktor, tukang cuci, tukang kebun, posmen, petani, tukang cat, tukang masak, jaga, akauntan dan sebagainya… Banyaknya tugas yang guru lakukan dalam sehari, seminggu,sebulan, setahun dan bersilih tahun hinggalah persaraannya…


Sampai hari ini, saya masih mengingati pesan itu, tetapi saya juga insan yang adakala terjejas juga emosinya…Alhamdulillah masih terkawal mentalnya.

Gembira ria atau muram durja di dalam dunia ini hanya menurut kaca mata orang yang memandangnya.

Hamka. Lembaga Budi, 2003

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , ,