March 26th, 2011 by bukharishafie
Kasih ibu berkorban nyawa
Kasih ayah berkorban harta

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , ,

August 15th, 2010 by bukharishafie

Kejadian ribut yang melanda bazar ramadhan di Melaka memang tragis . Begitu juga kejadian yang berlaku di Miri, 11 gerai ranap ditimpa pokok besar yang tumbang. Kejadian yang berturut-turut. Segalanya urusan Allah.
Ramadhan bulan berkat. Kehadiran Ramadhan merupakan pintu rezeki bagi kebanyakan orang untuk menambah pendapat melalui aktiviti perniagaan, baik berniaga makanan mahu pun pakaian. Hal sedemikian menyebabkan wujudnya banyak bazar Ramadhan bagi memenuhi keperluan peniaga.
Melihatkan cara pengendalian gerai-gerai bazar Ramadhan sejak kebelakangan ini, saya selalu terbayangkan andai berlaku kejadian yang tidak diingini (kebakaran atau ribut). Keadaan dan struktur gerai yang terdiri daripada khemah pasang siap, tidak menampakkan ciri-ciri keselamatan kepada peniaga dan pengunjung. Semua terdedah kepada bahaya yang tidak diduga. Kejadian ribut yang melanda bazar Ramadhan di Melaka membuktikan bahawa peniaga dan pengunjung terdedah 100% kepada bahaya. Apatah lagi bazar didirikan di kawasan lapang.
Takziah kepada keluarga mangsa. Moga kejadian yang berlaku akan membuka mata pihak berkuasa tempatan terhadap aspek keselamatan melebihi keuntungan yang diharapkan melalui sewa gerai yang dinaikkan saban tahun akibat permintaan yang terlalu tinggi.
—–
Jangan lama-lama apabila berada di bazar Ramadhan. Cepat beli dan cepat balik…Lama-lama nanti pahala puasa juga berkurang 🙂

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , ,

February 3rd, 2010 by bukharishafie
Sumber gambar: UNIKA PTS

Membaca catatan “Kontraktor Buku Gembira dengan Langkah KPM Mewajibkan Guru-guru Membaca 7 Buku Setahun” dalam blog UNIKA PTS merupakan khabar gembira bagi saya. Hal ini kerana saya sememangnya kurang berminat untuk menghadiri Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang diadakan atas sebab-sebab tertentu. Bagi saya membaca merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan dan tahun ini saya sudah menyemat azam untuk membeli sekurang-kurangnya 2 buah buku sebulan. Tentunya juga membaca paling kurang 2 buah buku sebulan!

Khabar ini sebenarnya sudah diumumkan oleh pentadbiran sekolah saya pada penghujung tahun lepas. Program ini bertujuan untuk menggantikan program LDP yang wajib diikuti oleh guru-guru sekurang-kurangnya 7 hari dalam setahun. Namun hingga kini tidak ada kepastian berkaitan program tersebut.

Saya mengakui, bukanlah mudah untuk membudayakan membaca sebagai amalan walau untuk mengisi beberapa minit masa terluang. Menggalakkan guru membaca sekurang-kurangnya 7 buah buku setahun merupakan satu langkah yang baik. Namun untuk menetapkan 7 buah buku yang perlu dibaca bukanlah suatu langkah yang baik.

Guru sewajarnya diberi pilihan untuk membaca buku pilihan masing-masing. Hal ini demikian kerana salah satu faktor minat membaca adalah bergantung kepada minat individu terhadap genre yang diminati. Menetapkan 7 bahan bacaan tertentu tentulah mengekang minat sesetengah guru. Secara tidak langsung akan melunturkan minat membaca seperti yang diharapkan.

Malahan KPM sendiri boleh melaksanakan kempen yang berlebih berkesan sejajar dengan program wajib membaca 7 buah buku setahun dengan melancarkan kempen membaca secara besar-besaran di sekolah-sekolah KPM. Idea BACA@LRT merupakan satu idea yang boleh dimurnikan oleh KPM. Secara tidak langsung bukan guru sahaja yang dibudayakan dengan amalan membaca, malahan pelajar juga turut menerima kesan positifnya.

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , , , ,

January 28th, 2010 by bukharishafie
Sebulan lebih blog ini tidak diusik. Ayuh, kita mulakan tahun 2010 ini dengan semangat MEMBACA. Sematkan azam untuk kita menjadi orang yang gemar membaca. Saya petik beberapa rangkap sajak “Merindu Buku” karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said:


Kita wajar berpesta di qalbu buku
menghayati nikmatnya seindah syahdu;
dalam tenang waktu khusyuk di pustaka
lebih cepat kita terasuh dewasa.

Kita memupuk insan yang luhur budi
melalui tapisan hikmah berseni;
dan buku memang tasik aneka ilmu
yang perlu diselami sejujur qalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara;
membaca menjadi jambatan bertuah
Kita merindu buku dan ghairah baca
agar sentiasa canggih dan berhemah.

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , , , , ,

October 5th, 2009 by bukharishafie

Jika anda yakin perjuangan anda benar, teruskanlah dan tetapkan pendirian!

Jangan sesekali goyah apabila teman anda sendiri mula berpaling tadah kerana mempercayai kebenaran di pihak lain atau pun kononnya berprinsip ‘belas kasihan’ dan ‘memaafkan’.

Sepanjang itu; yang berpihak pada anda, yang tidak bersetuju dengan anda, dan yang seperti lalang sifatnya atau yang atas pagar kononnya, akan memerhatikan anda…

Apabila perjuangan anda berhasil, ramai yang akan suka, tentu juga ada yang tidak ceria. Jangan harapkan pujian dan terima kasih atau sekalung tahniah kerana anda sukar untuk mendengarnya.

Anda akan rasa bahagia apabila ada yang datang secara peribadi dan mengungkapkan “Anda memang orang yang berani!”, “Tidak goyah sama sekali”, “Salam pejuang, matlamat tercapai akhirnya.” dan berbagai-bagai lagi…

Yang pasti anda perlu sentiasa berhati-hati…perjuangan bukan untuk membuka aib tetapi mencari kebenaran. Apabila matlamat sudah tercapai, maka tutuplah cerita-cerita yang berulang atau datang sesudahnya…

Kata saya, buka buku baru…

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , , ,

September 25th, 2009 by bukharishafie

Salam Aidil Fitri dan salam silaturrahim.

i. SMS Raya

Terima kasih kepada rakan dan saudara yang sudi menghantar sms kepada saya.
Terima kasih juga kepada rakan dan saudara yang berkesempatan membalas sms saya.

Saya gembira kerana semua sms yang diterima menggunakan bahasa Melayu 100%. Tidak ada bahasa rojak. Hebat bukan? Begitulah indahnya bahasa Melayu yang mampu mengungkap rasa hati dalam menyampaikan rasa sanjung, hormat, kerendahan hati dan kemaafan serta doa kepada rakan/saudara.

ii. Hiburan Raya

Rancangan Al-Kulliyah TV3 petang tadi mebicarakan tentang Raya Bertaqwa. Panelisnya Dato’ Abu Hassan Din dan Dr. Ridhuan Tee Abdullah manakala perantaranya Ustaz Mohd. Fauzi. Perbincangan dan kupasan panelis amat menarik.

Realitinya, raya ini seperti juga raya sebelumnya, kita dihidangkan dengan pelbagai hiburan yang menggunakan pelbagai judul. Semua saluran tv berlumba-lumba menghidangkan pelbagai rancangan yang kononnya untuk memberikan kegembiraan pada hari raya. Malang lagi rancangannya entah apa-apa sekadar mengumpan penonton dengan artis saja, pengisiannya jelas bercanggah dengan agama, adab dan budaya.

Kita masih terperangkap dengan pengertian raya sebagai hari untuk berhibur. Agaknya begitulah…

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , , ,

May 21st, 2009 by bukharishafie

Profesor Emeritus Abdullah Hassan dalam blog Santun Bahasa menegaskan:

Apabila kita hormat, kita meningkatkan taraf orang yang dilawan bercakap dengan menggunakan bentuk panggilan yang meninggikan tarafnya. Inilah yang dikatakan berbudi bahasa.

Hujung minggu lalu, saya berkunjungan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menziarahi biras saya yang mengalami masalah saraf.

i. Situasi di tempat meletak kenderaan pelawat

Sambil menunggu di dalam kereta, saya sempat memerhatikan gelagat seorang wanita yang agak berumur mendekati pelawat-pelawat yang meletakkan kenderaan. Sambil memegang beberapa naskah surah Yassin dan menggalas beg kecil, dia menghampiri setiap pelawat dan menyapa serta mempelawa pelawat untuk membeli surah Yassin yang dibawanya. Dia sentiasa bermanis muka sambil membantu memberikan isyarat kepada pelawat untuk meletakkan kenderaan di petak yang disediakan.

“Assalamualaikum tuan, mak cik menjual surah Yassin, mahukah tuan membelinya.”

“Assalamualaikum encik, mak cik menjual surah Yassin, mahukah tuan membelinya.”

Demikian antara yang saya dengar kata sapaannya setiap kali mendekati pelawat yang meletakkan kenderaan di situ.

Ada yang dipanggil tuan, ada yang dipanggil encik. Yang saya perasan, panggilan itu berdasarkan penampilan pelawat dan juga pada kenderaan pelawat. Pandai dia menyesuaikan sapaan untuk menarik perhatian orang yang disapanya.

ii. Situasi di dalam wad

Sewaktu sedang menziarahi biras saya, beberapa orang jururawat sibuk menyediakan fail-fail pesakit dan pembantu hospital pula sedang mengedarkan pas untuk menunggu pesakit.

“Mak cik, ini surat kebenaran pelawat. Jika jaga (pengawal keselamatan) masuk nanti (bukan waktu melawat), mak cik tunjuk saja surat ini.”

“Ya, terima kasih.”

“Akak, sudah dapat surat ini ke belum?”
“Belum.”
“Nanti saya sediakan, akak tunggulah sekejap. Surat ni penting.”

iii. Kedua-dua situasi menampakkan sikap profesionalisme dua watak. Kedua-duanya berurusan dengan orang ramai. Bahasa penjual surah Yassin lebih menarik perhatian orang yang didekatinya. Bahasa pembantu hospital pula nampaknya seolah-olah untuk menampakkan layanan mesra terhadap pelanggan, namun tidak kena pada tempatnya. Apatah lagi beliau seorang penjawat awam yang sentiasa berurusan dengan pelanggan. Jadi, panggilannya juga haruslah kena pada tempatnya dan melambangkan profesionalismenya sebagai penjawat awam. Beliau sewajarnya menggunakan sapaan, cik, encik, puan atau tuan.

Sila ke blog Santun Bahasa (Profesor Emeritus Abdullah Hassan) untuk membaca kupasan beliau tentang hal ini.

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , , , ,

May 4th, 2009 by bukharishafie

i

Ada pelajar saya menghabiskan bacaan sebuah novel kontemporari cinta romantis dalam masa dua hari, tetapi belum lagi membaca sampai habis novel (Komponen Sastera) yang perlu semenjak dari tingkatan 1 hinggalah di tingkatan 4 sekarang.

Boleh dibilang mereka yang benar-benar membaca. Itu pun mengambil masa beberapa hari untuk menghabiskan bacaannya, malahan ada yang sampai sebulan lamanya.

Bukanlah pelik, kenapa begitu jadinya? Setahun lalu isu novel-novel KOMSAS ini pernah berbangkit, hinggakan sampai beberapa naskhah baru telah dipilih untuk menggantikan naskhah yang dikatakan tidak menarik itu. Namun usaha itu terhenti apabila timbul polemik lain dalam isu yang sama.

ii

Dalam satu aktiviti melibatkan semua pelajar, saya membacakan dua pantun berikut:

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Reaksi pelajar biasa-biasa sahaja.

Tanam pinang rapat-rapat,
Biar puyuh tidak dapat berlari;
Kupinang-pinang tak dapat,
Kupujuk-pujuk kuajak lari.

Tetapi sebaik habis pantun ini suasananya riuh, ada yang tersengeh dan ada yang tersenyum.

iii
Hal-hal yang berunsur cinta dan romantis akan cepat menarik dan mendapat perhatian. Yang mengghairahkan akan menimbulkan reaksi segera…

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , , ,

April 25th, 2009 by bukharishafie


Setelah menyelongkar cd ‘backup’ fail-fail daripada ‘notebook’ lama, saya terjumpa semula gambar yang diambil di Pantai Chenang, Langkawi. Gambar itu dirakamkan pada waktu senja, seingat saya hampir memasuki waktu Maghrib beberapa tahun lalu. Ketika itu saya masih bertugas di Langkawi.

Jika diamati, akan kelihatan sesuatu yang tidak disangka sama sekali dalam gambar itu. Anda mungkin akan nampak bayangan seperti orang sedang berjalan di bahagian kiri gambar. Saya sedari setelah melihat semula gambar yang dirakam itu apabila tiba di rumah.

Apabila bertanya kepada rakan-rakan tempatan Langkawi, itu bukanlah sesuatu yang pelik. Banyak cerita tentang kisah-kisah pahlawan dahulu di Langkawi. Pantai Chenang merupakan salah satu tempat yang termasuk dalam cerita itu. Jadi, andaiannya itulah kelibat pahlawan dahulu (atau h a n t u…?).

Andaian boleh jadi macam-macam berdasarkan perspektif masing-masing…

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , , ,

April 22nd, 2009 by bukharishafie
Pelaksanaan yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pndidikan dalam usaha memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk yang lebih jelas kerana wujudnya kontra dengan pelaksanaan dasar bahasa yang berlaku di sekolah-sekolah dan juga di IPTA dan IPTS.

Di peringkat pembelajaran, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran semakin mengecil jumlahnya apabila dilaksanakan pengajaran mata pelajaran sains, matematik dan professional menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Usaha-usaha untuk menyemarakkan penggunaan dan mengukuhkan kecintaan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sememangnya disokong tetapi untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah mestilah disokong kuat oleh penggunaan dan pemakaian Bahasa Melayu sepenuhnya dalam menyampaikan ilmu. Barulah Bahasa Melayu akan terus berkembang pesat dan usaha memperkayakan khazanah bahasa dalam bidang ejaan, peristilahan, kosa kata umum, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa akan terus bercambah.


Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , , , , ,

April 17th, 2009 by bukharishafie

senyum itu suka
senyum itu duka
senyummu beribu tahun
menjadi temanku yang bahagia

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , , ,

February 25th, 2009 by bukharishafie

(i)
Orang berbudi kita berbahasa.

Menjadi seorang yang berbudi dan juga berbahasa bukanlah mudah. Tunjuk ajar memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian seseorang. Hal ini diperingatkan oleh baginda Rasulullah s.a.w:

“Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih). Maka ibu bapa yang akan membentuknya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Pepatah Melayu juga mengungkapkan, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.”


(ii)

Semalam dua pekerja kedai perabot menghantar perabot yang saya beli tiga hari yang lalu.
Seorang Melayu dan seorang lagi Bangladesh. Proses menurun, mengangkat dan memasang banyak dilakukan oleh lelaki Bangladesh berbanding lelaki Melayu. Saya beranggapan mungkin lelaki Melayu itu pemandu lori, maka lelaki Bangladesh itu yang perlu lakukan semuanya; termasuklah kerja memasang yang agak merumitkan juga dilakukan tanpa bantuan. Saya akhirnya membantu juga, sedangkan lelaki Melayu itu berada di luar.


Belum pun selesai, isteri saya telah menghidangkan minuman sejuk kepada mereka. Lantas saya mempelawa mereka untuk minum. Lelaki Bangladesh mengucapkan terima kasih dan menyatakan mahu menyudahkan kerjanya dahulu. Lelaki Melayu pula terus duduk dan minum.

Setelah selesai kerja memasang, saya sekali lagi mempelawa minuman kepada lelaki Bangladesh.

“Alhamdulilah, terima kasih,” katanya.
“Sama-sama,” balas saya.
Sambil minum dan berbual-bual ringkas, mereka meminta diri untuk beredar.
“Ada perabot yang perlu dihantar lagi,” kata lelaki Bangladesh itu.
“Terima kasih, assalamualaikum,” sambungnya lagi.

Lelaki Melayu itu berlalu begitu sahaja.
Saya membalas jawab dan mengucapkankan terima kasih kepada mereka.


Budi dan bahasa itu bukan milik Melayu sahaja walaupun banyak gambaran lalu tentang kehebatan orang Melayu yang kaya dengan nilai dan budinya, bahasa dan sopan-santunnya. Zaman sudah berubah, tetapi ajaran Islam tentang budi bahasa, sopan dan santun tetap relevan sepanjang zaman.


Anak kambing di tepi pantai,
Pandai melompat pandai berlari;
Biar buruk kain dipakai,
Asal hidup pandai berbudi.

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.


Posted in Arkib Blogspot Tagged with: ,

February 20th, 2009 by bukharishafie
Sumber gambar: Blog YB. Drs. Khalil Idham Lim

“Bahasa jiwa bangsa”, hilang bahasa lenyaplah bangsa.

Kita “mungkin” masih bernasib baik kerana bahasa ibunda kita masih digunakan walaupun dalam keadaan yang sudah cacamarba.

Masakan tidak, bahasa Melayu kita sudah menjadi bahasa rojak. Malang lagi kebanyakan penutur natifnya sendiri lebih gemar berbahasa rojak daripada berbahasa Melayu sepenuhnya.

Maka sering ditemui orang Melayu lebih Inggeris daripada orang Inggeris, lebih Cina daripada orang Cina, lebih India daripada orang India dalam perbualannya. Sedangkan bahasa yang digunakan bukanlah bahasa Inggeris sepenuhnya, atau bahasa Cina sepenuhnya, juga bahasa Tamil selengkapnya- Hanya menggunakan bahasa rojak atau bahasa pasar sahaja.

“Tauke, ini barang berapa harga ma?”

“Ayo, itu macam ka aci?”

“Jom kita keluar lunch tengah hari ni. You tunggu I kat tempat parking, ok”

Mungkin satu kebiasaan apabila situasi penggunaan bahasa sebegini ditemui dalam perbualan biasa-biasa dalam urusan yang tidak rasmi. Namun bagaimana apabila bahasa sebegitu juga banyak digunakan di pejabat, malah di Parlimen juga?

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: , , , , ,