February 2nd, 2012 by bukharishafie

Teman
Jika engkau yakin perjuanganmu benar
teruskan langkah dan tetapkanlah pendirianmu
berserahlah sepenuh hatimu
kepada Tuhan sekalian alam

Jangan sesekali engkau goyah
apabila temanmu sendiri mula berpaling arah
kononnya atas prinsip ‘belas kasihan’ dan ‘memaafkan’ lawanmu
semata-mata kecanduan dengan umpan habuan daripada seterumu
lalu beralih menghukum perjuanganmu di jalan salah

Wahai teman
Sepanjang dirimu di medan perjuangan itu ;
yang berpihak dan menyokong perjuanganmu,
yang tidak bersetuju dan menongkah perjuanganmu,
dan yang seperti lalang sifatnya,
atau yang atas pagar kononnya,
akan memerhatikan setiap tindak langkahmu

Wahai teman
Apabila perjuanganmu berhasil
ramai yang di sekelilingmu akan gembira
tidak kurang yang memuji dan menyanjungmu
tentu juga ada yang tidak ceria denganmu

Ingatlah teman
Jangan mengharap secangkir pujian
mahu pun mengimpi dikalung ucap tahniah
Jangan meminta dirimu dijulang bagai perwira
atau diarak bagai panglima

Percayalah teman
Dirimu akan rasa bahagia
apabila ada yang datang secara peribadi
lalu mengungkapkan
“Anda memang orang yang berani!”
“Tidak goyah sama sekali”
“Salam pejuang, matlamat tercapai akhirnya”
dan berbagai-bagai lagi bisikan ikhlas

Yang pasti, dirimu perlu sentiasa berhati-hati
Ingatlah,
perjuangan bukan untuk membuka aib
tetapi untuk menegak kebenaran

Apabila matlamat sudah tercapai,
maka tutuplah cerita-cerita yang berulang
atau yang datang sesudahnya
Bukalah lembaran baru.

————
Puisi ini telah disiarkan dalam ruangan Sastera & Budaya, Harakah (bil.1712) 30 Jan.-2 Feb 2011
———— 

Posted in Bahasa, Sastera & Budaya Tagged with:

February 2nd, 2012 by bukharishafie

 

 

 

 

 

Tanah ini tanah kita
Warisannya turun-temurun
Marilah kita bina rumah bangsa
Berhias indah nuansa warga

Tiangnya agama berlantai bahagia
Dindingnya tolak ansur bertingkap mesra
Bumbungnya ikhlas berpintu akrab
Lamannya hamparan budaya

Rumah kita rumah indah
Kelainannya kita serasikan
Memakmurkan harmoni dan sentosa
Menjelmakan damai satu bangsa

Rumah kita tersergam gagah
Bukalah pintu dengan mesra
Hulurkan salam ikhlas dan jujur
Masuklah berganding tangan
Langkah bersama cinta dan rindu
jauh ke dalam kalbu

Rumah kita satu bahasa
Rumah kita satu bangsa
Rumah kita satu negara
Rumah kita satu Malaysia
Penuh keamanan dan kedamaian

————

Puisi ini telah disiarkan dalam ruangan Simfoni Bahasa, Majalah Pelita Bahasa (Nov.2011)
———— 

Posted in Bahasa, Sastera & Budaya Tagged with:

April 8th, 2009 by bukharishafie

Diam

daripada mengeluarkan butir-butir kata tak bermakna
diam lebih baik

diam adalah tanya tak berjawab
diam adalah gua tak berpintu
diam mencipta teka-teki
diam mencipta misteri
diam menutup kebodohanku
diam membuka kemusykilanmu
diam tidak bererti kelu
diam tidak bererti dungu
diam dan ubi bertemu di bumi
yang satu menyepi
yang satu berisi

diam lebih bermakna
daripada buti-butir suara
yang kosong

(Sajak hasil karya T. Alias Taib)

Posted in Arkib Blogspot Tagged with: